RM12 juta diperuntuk ganti paip bocor

Ditulis pada .

RM12 juta diperuntuk ganti paip bocor

KUALA TERENGGANU 27 Mac - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi melaksanakan projek-projek penggantian paip yang mengalami masalah kebocoran kritikal tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pelaksanaannya terpaksa digerakkan secara berperingkat kerana melibatkan peruntukan yang besar.

Katanya, masih terdapat 1,700 kilometer paip-paip jenis asbestos cement (AC) daripada 8,000 kilometer jaluran paip di negeri ini yang perlu diselenggara ekoran telah melebihi tempoh hayatnya.

"Pada tahun 2010, Syarikat Air Terengganu (Satu) terpaksa menanggung kos penyelenggaraan paip air sebanyak RM2.1 juta dan meningkat kepada RM4.9 juta (2011), seterusnya kepada RM6.2 juta (2012).

"Kos-kos ini terpaksa dibelanjakan setiap tahun walaupun tinggi bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang selesa, selain meminimumkan gangguan bekalan dan menurunkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Ketua Pegawai Eksekutif/Operator Bekalan Air Negara di Wisma Darul Iman dekat sini semalam.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib; Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Teo Yen Hua dan Ketua Pegawai Eksekutif Satu; Husain Embong.

Ahmad menambah, melalui penyelenggaraan paip-paip bermasalah itu, beliau yakin kadar NRW dapat dikurangkan, sekali gus sasaran kerajaan negeri menurunkannya kepada 32 peratus tercapai.

Menurut beliau, kualiti air terawat di negeri ini antara yang terbaik dan dari segi bekalan, Terengganu mempunyai bekalan air mentah yang mencukupi untuk tempoh 30 tahun akan datang dengan sungai-sungainya yang masih terpelihara daripada pencemaran.

Dalam ucapannya, beliau turut mencadangkan agar semua operator air di seluruh negara berkongsi maklumat, kaedah, pengalaman dan teknologi serta mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu NRW dengan bantuan SPAN sebagai fasilitator.

Tambah Ahmad, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air perlu menyediakan peruntukan mencukupi bagi pelaksanaan program atau projek berkaitan NRW memandangkan peruntukan kerajaan negeri amat terhad.

Sumber: Utusan Malaysia

Lima pakej tarikan pelancongan di Terengganu

Ditulis pada .

Lima pakej tarikan pelancongan di Terengganu

SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai konvoi berbasikal pada majlis pelancaran Pakej Berbasikal Terengganu Cuti-cuti 1Malaysia 2012 di Taman Awam Batu Burok, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 20 Mei - Sebanyak lima Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia Terengganu dilancarkan di sini semalam bagi mempelbagai daya tarikan dan produk pelancongan di negeri ini.

Pengarah Tourism Malaysia negeri, Mohd. Nasir Khusairi berkata, pakej yang dikendali oleh agensi-agensi pelancongan tempatan itu ditawarkan pada harga antara RM150 dan RM859.

''Semasa pelancaran peringkat kebangsaan pada 1 April lalu yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen, sebanyak 33 pakej diumumkan dan dua daripadanya di negeri ini," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, berdasarkan sambutan pihak agensi pelancongan, tiga lagi pakej ditawarkan.

Sumber: Utusan Malaysia